PROGRAM DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRIK

Diploma Kejuruteraan Elektrik merangkumi disiplin kejuruteraan elektrik dengan penekanan dalam bidang penjanaan kuasa dan penghantaran. Program ini direkabentuk dengan ilmu-ilmu elektrik dan elektronik yang merangkumi prinsip-prinsip elektrik dan elektronik, komputer asas dan pengaturcaraan, peranti semikonduktor, pemasangan pendawaian, sistem kuasa dan reka bentuk terbantu komputer yang menyediakan fleksibiliti untuk graduat. Menjelang akhir program, graduat dilengkapi dengan kursus pengkhususan yang merangkumi Sistem Perlindungan Kuasa, AC dan DC Kawalan Motor, Kuasa Elektronik dan Penyelenggaraan Elektrik. Selain dari pengetahuan teknikal dan kemahiran, program ini juga memberi penekanan kepada pembangunan potensi individu pelajar secara bersepadu dan holistik melalui kursus-kursus pengajian Islam, kajian moral, ko-kurikulum, kemahiran insaniah dan keusahawanan.

Matlamat program
Menghasilkan graduat diploma dalam bidang kejuruteraan elektrik yang berpengetahuan, berkemahiran teknikal, berkemahiran berkomunikasi dan bersikap sentiasa bersedia untuk menyesuaikan diri dengan cabaran kemajuan dan teknologi yang baharu dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Hasil Pembelajaran Program (Programme Learning Outcome)
Setelah tamat program ini, graduat seharusnya boleh;

  • Mengaplikasi pengetahuan asas matematik, sains dan kejuruteraan dalam prosedur dan amalan kejuruteraan elektrik dan elektronik dengan baik
  • Menunjukkan kemahiran praktikal termasuk keupayaan untuk menyelesaikan masalah, membaik pulih dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan bagi peralatan elektrik dan elektronik
  • Berkomunikasi secara berkesan dengan komuniti kejuruteraan dan masyarakat amnya
  • Menggunakan pemikiran kreatif dan kritis dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan tugas yang diberikan
  • Menunjukkan kesedaran dan pertimbangan untuk masyarakat, keselamatan, kesihatan, undang-undang dan budaya, isu-isu dan tanggungjawab yang berbangkit, dengan mengambilkira keperluan untuk pembangunan masyarakat mampan
  • Mengiktiraf keperluan untuk pembangunan profesional dan terlibat dalam pengambilalihan bebas pengetahuan dan kemahiran yang baharu.
  • Mengiktiraf keperluan untuk keusahawanan
  • Menunjukkan pemahaman etika profesional, tanggungjawab dan norma amalan kejuruteraan elektrik dan elektronik
  • Berfungsi secara individu atau berpasukan dengan berkesan serta berkemampuan untuk menjadi pemimpin.

Prospek Pekerjaan
Program ini menyediakan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan elektrik yang boleh digunapakai secara meluas untuk kerjaya dalam bidang penjanaan kuasa dan industri pembuatan. Pengetahuan dan kemahiran diperolehi graduat daripada program ini akan membolehkan mereka untuk menyertai pasaran kerja seperti berikut: -

  • Juruteknik Elektrik
  • Penasihat Perkhidmatan Kejuruteraan Elektrik
  • Pembantu Juruteknik
  • Penyelia Kejuruteraan Elektrik
  • Pembantu Jurutera
  • Bekerja sendiri dalam bidang yang berkaitan
  • Usahawan